Tuesday, January 11, 2011

:: Bahasa Arab dan Dakwah ::


“Sesungguhnya Kami menurunkannya berupa Al-Quran (dalam) berbahasa Arab,agar kamu mengerti” [Yusuf 12:2]

Secara literalnya, perkataan dakwah berasal dari bahasa Arab “دعوة”. Dari kata دعا- يدعو yang bermaksud panggilan, ajakan atau seruan. Manakala dakwah Islamiyah pula bermaksud mengajak manusia kepada ajaran Islam berpandukan ‘buku rujukan’ yang diturunkan oleh Allah SWT kepada umat manusia iaitu Al-Quran dan As-Sunnah. Sedangkan kitab suci Al-Quran itu diturunkan di dalam bahasa Arab dan dakwah Islamiyah disampaikan oleh junjungan besar Rasulullah SAW yang dipilih oleh Allah SWT dari kalangan bangsa Arab itu sendiri. Hadis-hadis Nabawi juga diriwayatkan secara berantai hingga sampai kepada kita pada hari ini, dan ia juga tertulis dalam bahasa Arab.

Bahasa Arab membentuk tamadun masyarakat.

Faktor bahasa memainkan peranan penting dalam membentuk sesebuah pembangunan sosial dan pembentukan tamadun masyarakat. Ketika dakwah Islam memasuki pusat-pusat peradaban dunia dan membangun dengan gemilang, bahasa yang digunakan juga bahasa Arab. Pada era itu, bahasa Arab sebagai bahasa pengantaraan menjadi bahasa pemerintahan, menjadi bahasa dunia pendidikan, bahasa ilmu pengetahuan serta bahasa rakyat sehari-hari. Walhal negeri-negeri yang dimasuki Islam itu bukanlah semuanya terdiri daripada negeri Arab.
Bahkan dapat dilihat peranan bahasa Arab dalam perkembangan dakwah Islamiyah ketika Islam tiba di Mesir, dan kemudian para pemerintah serta rakyatnya memeluk Islam. Mereka tidak hanya sekadar memeluk Islam sebagai agama sahaja, tetapi mereka mempelajari bahasa Arab, bertutur dalam bahasa Arab dan melupakan bahasa Mesir Purba peninggalan nenek moyang mereka iaitu bahasa Afro-Asiatik. Semua bertutur dalam bahasa Arab, hinggalah ke hari ini. Meskipun Mesir terletak di benua Afrika, namun rakyat Mesir keseluruhannya berbicara dalam satu bahasa, iaitu bahasa Arab.

Bahasa Arab salah satu agen penyatuan umat Islam.

Suatu penyatuan memerlukan komponen-komponen yang bersifat kebersamaan dan kesetaraan. Beruntunglah umat Islam kerana kita mempunyai ‘bahasa persatuan’ Islam kita sendiri. Bahasa Arab bahasa Al-Quran. Bahasa Arab bahasa ahli-ahli syurga. Bahasa Arab sebagai bahasa persatuan umat Islam digunakan dalam pelaksanaan ibadah seperti solat dan pembacaan Al-Quran. Seorang penganut Kristian boleh bersembahyang atau membaca Injil dalam bahasa Latin, Yunani, Indonesia, China, dan bahasa lainnya. Akan tetapi mana mungkin Al-Quran dibacakan selain bahasa Arab. Bahasa ini diucapkan setiap hari di dalam amalan ritual dan muamalah umat Islam secara global.
Ketika Turki pada akhir abad ke-19 menghilangkan penggunaan bahasa Arab di lingkungan pemerintahan dan menggantikannya dengan bahasa Turki, ianya menyebabkan percambahan semangat nasionalisme Arab. Hal ini kerana, menurut mereka penggantian bahasa Turki kepada bahasa Arab merupakan penyimpangan terhadap semangat kesatuan Islam. Justeru Barat menggunakan semangat nasionalisme Arab itu, sebagai umpan atau pemangkin untuk memecah-belahkan negara-negara Islam. Implikasinya, lahirlah kerajaan dan negara-negara Arab yang baru hasil perpecahan dan penarikan diri dari empayar Turki.

Bahasa Arab sebagai bahasa ilmu dan bahasa alat dalam penyebaran dakwahIslamiyah.

Tidak dapat tidak seorang dai’e perlu menguasai bahasa Arab bagi mengukuhkan kefahaman tentang Islam dan dakwah. Tanpa penguasaan bahasa Arab,seseorang dai’e tidak mampu merujuk, membaca dan memahami sumber-sumber utama ilmu Islam seperti Al-Quran, hadis-hadis Nabawi, dan kitab-kitab muktabar para ulama’ Islam terdahulu ditulis dalam bahasa Arab. Tambahan pula,melalui penguasaan bahasa Arab, seseorang dai’e boleh memantapkan lagi tarbiyyah Islamiyah dan menjana dakwah Islamiyah yang efektif.

Bahasa Arab sebagai ramuan pengukuhan tarbiyyah individu muslim.

Kemahiran bahasa Arab membolehkan kita memahami maksud setiap bacaan di dalam solat, doa-doa, wirid serta zikir mahupun Al-Quran itu sendiri. Kefahaman yang padu dan mendalam akan membantu dalam mengukuhkan tarbiyyah individu muslim itu sendiri lebih-lebih lagi sebagai persediaan sebagai seorang dai’e. Kejahilan dan kelemahan umat Islam mendalami bahasa Arab akan hanya mewujudkan sebuah masyarakat yang tidak kreatif, kurang dinamik dan pak turut yang hanya menuturkan sesuatu yang tidak difahaminya ibarat burung kakak tua yang bijak berbicara.

Maka di sini kesimpulan yang dapat saya peroleh, mempelajari bahasa Arab sehingga mampu menguasai mungkin menjadi satu pilihan bagi orang lain, tapi tidak bagi seorang daie. Seolah-olah sudah satu kewajipan bagi daie itu sendiri. Cari alternatif dari setiap sudut, kerana Allah pasti akan membantu setiap hambaNya yang bersungguh!

p/s: namun,jangan pernah lupa!ilmu Tuhan itu luas.kuasai juga bahasa-bahasa lain yang dirasakan penting dalam era kini.ke arah dai'e abad ke-21!

1 comment:

  1. Masuk ISMAweb ni..sila beri tunjuk ajar hehe

    ReplyDelete